Friday, September 19, 2008

Puasa cara bersih minda dan fizikal paling berkesan

Oleh: Suria Mohd

RAMAI penulis Barat telah menemuinya. Berjilid-jilid buku ditulis untuk merakamkan keberkesanannya ke atas manusia dari segi mental dan fizikal.

Faedahnya tidak terhingga hingga ramai orang Barat yang mengikutinya dengan tekun.

Apakah yang saya maksudkan?

Penemuan yang saya maksudkan adalah puasa, suatu sistem yang telah dipraktikakan beribu-ribu tahun dahulu hingga kini oleh umat Islam.

Malangnya terdapat banyak perbezaan antara puasa yang asli diajar Islam dan puasa budaya.

Puasa asli adalah satu sistem menyeluruh yang dapat membersihkan tubuh manusia, merehatkan sistem penghadaman, membuang toksin, memperbaharui kesihatan tubuh selain daripada memberi kesan spiritual yang mendalam.

Itulah sistem yang diajar Rasulullah dan apabila saya membuat kajian atas sains pemakanan di sebalik saranan Baginda, ia amat menakjubkan.

Puasa budaya adalah puasa ikut-ikutan di mana aspek pemakanan langsung tidak dihiraukan sekadar makan melayani tekak perut sahaja.

Sistem puasa sebenar: Kepentingan sahur

Sahur merupakan pemakanan pertama setelah kita bangun daripada tidur. Sewaktu tidur tubuh kita juga dalam keadaan puasa sementara dan untuk menggerakkan jentera tubuh setelah bangun ialah mengisinya dengan makanan.

Daripada situlah timbulnya istilah sarapan pagi iaitu makanan pertama dalam seharian untuk memecahkan puasa setelah bangun daripada tidur.

Banyak kajian membuktikan pentingnya sarapan pagi atau makanan pertama setelah kita bangun daripada tidur.

Pemikiran lebih tajam, daya tenaga dan produktiviti lebih tinggi dan lebih mudah untuk langsing. Orang yang tidak bersarapan akan mempunyai sistem metabolisme yang rendah.

Oleh itu, dalam waktu berpuasa amat penting kita makan sarapan yang dinamakan sahur.

Puasa tanpa sahur akan memudaratkan kerana tubuh menjadi lemah dan tidak berupaya meneruskan kerja harian dengan optimum.

Bukan sebarang sahur

Sahur yang tepat adalah sahur yang dapat menepati ciri-ciri berikut:

1. Mengenyangkan (tinggi serat)

2. Berzat lengkap dengan zat tenaga, protein, vitamin dan galian

3. Ringkas dan mudah dihadam

4. Mempunyai cecair

Contohnya sahur yang tepat adalah seperti berikut:

1. Oats bersama susu rendah lemak (mengenyangkan dan tinggi serat serta diperkaya zat protein)

2. Badam dikisar ditabur atas oats (kaya protein serta lemak)

3. Kurma di buang biji, dipotong-potong dan ditabur atas oats (berzat, kaya zat tenaga, vitamin dan galian)

4. Jus lobak merah dan epal (tanpa gula) cecair yang kaya dengan zat vitamin.

Contoh sahur yang tidak tepat:

1. Roti putih disapu jem atau kaya makan dengan air coklat yang dikacau dengan susu pekat manis.

2. Sahur dengan minum air teh atau air coklat dengan susu pekat manis.

3. Bahan gorengan, bahan yang diproses seperti burger dan hotdog.

Ini adalah contoh pemakanan kurang seimbang. Puasa adalah masa untuk membersihkan sistem fizikal.

Makanan proses tinggi dengan lemak tepu yang kurang baik, pengawet, pewarna serta garam yang tinggi akan mengotori tubuh kita kembali.

No comments: